Ahad, 27 Julai 2014

1 Syawal 1435H

Berakhirnya Asar 27 Julai 2014 bersamaan 29 Ramadhan 1435 H, maka muncullah Maghrib. Suara Bilal berkumandang di angkasa melaungkan azan. Lima minit selepas itu, terdengar pula Takbir Raya dari radio mengesahkan bahawa 1 Syawal 1435 telah bermula. Bagai bergenang air mata kegembiraan, Syawal tahun ini membawa kebahagiaan buat diriku dan ayah kerana semua anak, menantu dan cucu berada di kampung bagi meraikan Raya Aidilfitri tahun ini. 

4 jam sebelum waktu Asar, aku dan ayah telah mengorbankan 5 ekor ayam peliharaan @ ayam kampung. Memang setiap kali anak menantu ayah balik, pastilah ayam peliharaan ini akan menjadi korban. Alhamdulillah, mati dengan kalimah Allah.
Lima ekor ayam peliharaan disembelih dengan kalimah Allah, untuk santapan di Aidilfitri.
 

28 Julai 2014 bersamaan 1 Syawal 1435H, seawal 0530 pagi lagi aku sudah bangun menggerakkan keluarga, isteri dan anak-anak. Ternyata mak sudah sedia di dapur lebih awal dari aku. Begitulah mak, jika anak, cucu, menantu balik di cerok dapurlah tempatnya memasak menu yang menarik serta menu yang menjadi kegemaran anak-anaknya.
 
Selesai memandikan anak-anak dengan niat "Sahaja aku mandi sunat aidilfitri kerana Allah Ta'ala" maka aku bawa semua anak dan anak lelaki aku ke masjid. Makin cantik masjid Bukit Chabang ini. Banyak juga kereta kat sini, ini bermaksud ramai lah orang bandar yang pulang ke kampung halaman.
Masjid Bukit Chabang yang telah di rasmikan oleh Raja Muda Perlis pada Ramadhan 1435H. Tahniah.
Sebelum solat Aidilfitri, Imam Tua, Pak Long Man telah mengumumkan bahawa pada tahun ini, University Malaysia Perlis UNIMEP telah berbesarhati untuk memberi duit raya kepada semua kanak-kanak yang hadir di masjid. Memang langkah kanan lah aku bawa Syakir, Syamil dan Solihin. Lepas jer Khutbah maka berbarislah mereka bertiga untuk bersalaman dengan Tok Imam Tua untuk mengambil duit raya. Terima kasih UNIMEP dan Pak Long Man.
Syakir terima duit raya dari Tok Imam.

Syamil bersalaman dengan Tok Imam

Solihin bersalaman dgn Tok Imam untuk terima duit Raya.
 
Setelah selesai solat dan penerimaan duit raya, aku bawa ayah, mak dan anak-anak semua ke Tanah Perkuburan Islam untuk menziarahi pusara Tok dan Tok Wan di sana. Nampaknya semakin banyak pusara telah disemadikan di sini berbanding tahun lepas. Al- Fatihah untuk semua penghuni pusara di Bukit Chabang.
Sedekah Al Fatihah untuk penghuni Kubur Bukit Chabang.
Pusara Arwah Tok Nab, Mak Piah(menantu) Ayah, Ujang(cucu menantu) Solihin,Syamil dan Syakir(cicit) sedang mendoakan dan sedekahkan Fatihah dan 3 Khul.

Tiga orang cicit yang tidak pernah melihat jasad Tok Nek Zainab sedang mendoakan di atas pusara. Moga Arwah bersama orang yang beriman.
Pusara Arwah Tok Wan Lipah(Khalifah Yahya) sedang mendoakan kesejahteraan arwah Syahriman(cucu) dan cicit-cicit Arwah.
 
Selesai mendoakan arwah, aku kembali ke rumah. Suasana hari Raya pun bermula. Mee Kari, dan juadah kuih muih siap terhidang untuk menjamu selera. Anak-anak berbaju cantik, riang ria di hari lebaran.
Dari kiri Syamil, Syakir, Solihin, Ain dan Along siap berbaju raya warna-warni.
 Riuh rendah kehadiran sanak saudara di pagi hari, Keluarga sebelah Mak Lang Ajar, Keluarga Pak Su Johari dan Wa Milah menjadikan rumah aku sebagai destinasi yang pertama. Penuh rumah sambil menjamu selera serta cerita-cerita silam yang mengembirakan semua.
Ini keluarga sebelah Mak Lang Ajar. Mail, Syawal dan isteri Mail.
Selesai menjamu selera, aku merakamkan gambar kenangan bersama sepupu aku. Anak Mak Lang Ajar. Masing-masing bersama isteri dan anak-anak...yang menariknya semua yang ada dalam gambar ini menetap di Selangor dan Kuala Lumpur. Semuanya di perantauan. Alhamdulillah dapat pulang ke desa permai, Bukit Chabang.


Gambar Kenangan berlatar belakangkan Bukit Chabang.

Destinasi kedua kami adalah rumah Pak Su Johari. Menu special adalah Mihun Goreng Tom Yam. Lama tak beraya kat rumah Pak Su, sebabnya sebelum ini meraka beraya di Ladang Tebu. Pengusaha Kantin berjayalah katakan.


Menu Bihun Goreng Tom Yam, sedap. Tukang masaklah katakan.
 
Rumah ketiga adalah rumah Wa Milah. Setiap tahun pasti Wa Milah masak LonTong. Sedap bangat Wa Milah memang pakar dalam sajian Lontong. Tukanag masak juga ni.
 
Inilah keluarga bahagia aku.
Selepas selesai di rumah Wa Milah, kami semua ke rumah Mak Lang Ajar. Kat sini tak sempat nak bergambar. Indah sungguh di hari Raya tahun 2014 ini.Selesai sudah sesi pagi.

Di kesempatan ini ku menyusun sepuluh jari mohon ampun dan maaf jika ada terkasar bahasa, terguris perasaan semasa kalian membaca blog ini.

Amin.




#Syahrill Syawal 2014






Selasa, 8 Julai 2014

Berwaspada! Jangan menjadi mangsa penipuan


Berhati-hati dengan panggilan dan mesej palsu daripada mereka yang mendakwa sebagai pegawai Bank Negara Malaysia, bank swasta, penyedia utiliti atau agensi penguatkuasaan.
Ini satu PENIPUAN.

Jangan panik. Fikir dahulu.

Jika ada keraguan, hubungi BNMTELELINK (Pusat Panggilan Perkhidmatan Pelanggan) di talian 1300-88-5465.
 
 
KUALA LUMPUR: Awas! Hanya menerusi panggilan telefon, satu sindiket penipuan antarabangsa dipercayai didalangi warga Taiwan boleh membuatkan anda pokai dan setakat ini hampir 200 orang menjadi mangsa membabitkan kerugian kira-kira RM10 juta.
Sindiket itu yang bergiat aktif sejak dua tahun lalu mempunyai kepakaran tinggi apabila mampu memastikan nombor telefon pemanggil yang tertera pada telefon bimbit mangsa adalah nombor telefon Ibu Pejabat Polis Bukit Aman atau Bank Negara.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Wira Syed Ismail Syed Azizan, berkata mangsa terbaru sindiket itu ialah seorang lelaki dari Sabah berusia 30-an yang tertipu sebanyak RM250,000.
 
 Menurutnya, modus operandi sindiket licik itu memerangkap mangsa dimulakan dengan menelefon mangsa dengan pemanggil menyamar sebagai pegawai polis Bukit Aman atau kakitangan Bank Negara.
“Mangsa dimaklumkan akaun bank atau kad kredit mereka diceroboh pihak ketiga dan jika tidak segera memindahkan wang ke akaun lain, mereka akan kerugian kerana wang akan dicuri sindiket penipuan,” katanya.
Menurut Syed Ismail, mangsa pada mulanya tidak percaya maklumat itu dan akan menghubungi semula nombor telefon terbabit, namun panggilan mereka dijawab mesin operator elektronik sama seperti sistem yang diguna pakai Bukit Aman atau bahagian khidmat pelanggan Bank Negara. “Siasatan polis mendapati sindiket terbabit menggunakan perisian khas dikenali sebagai Voice Internet Protocol iaitu sistem panggilan telefon melalui pelayan komputer bagi memudahkan proses penyamaran.
 
 
 “Justeru, mangsa yang mula yakin dan takut wang mereka hilang akan mengikut arahan diberikan dan arahan itu yang menyebabkan mangsa kehilangan wang di dalam akaun bank atau kad kredit mereka,” katanya.
 
Beliau berkata, antara arahan pemanggil yang mendakwa pegawai polis Bukit Aman atau kakitangan Bank Negara itu ialah memberikan satu siri nombor yang didakwa kod atau kata laluan untuk proses transaksi pemindahan wang melalui mesin juruwang automatik (ATM).
 
“Selepas mangsa memindahkan wang ke dalam akaun ketiga yang diberikan, mereka juga diminta menghapuskan resit bank atas alasan keselamatan.
 
“Selepas berbuat demikian mangsa diarah menunggu tiga jam, kononnya untuk proses kemas kini akaun sebelum diminta menghubungi semula si pemanggil untuk membolehkan mereka mengambil semula wang.
 
“Bagaimanapun, suspek gagal dihubungi selepas itu dan menghilangkan diri. Ketika itu mangsa menyedari mereka ditipu, tambahan pula apabila mendapati wang dalam akaun masing-masing sudah tiada dan mereka tiada akses untuk akaun ketiga di mana wang mereka dipindahkan,” katanya.
Syed Ismail berkata, siasatan sepasukan anggota Bahagian Operasi JSJK Bukit Aman setakat ini menahan dua wanita tempatan berusia 23 dan 31 tahun di Taman Muda, Cheras, di sini, pada 30 Mac lalu.
 
“Tangkapan dilakukan di sebuah rumah teres berhampiran beberapa bank yang dipercayai menjadi tempat melakukan transaksi,” katanya.
Menurutnya, siasatan juga mendapati sebahagian besar pemilik akaun ketiga yang digunakan sindiket itu untuk memindahkan wang daripada akaun mangsa turut ditipu secara halus.
Ini kerana mereka yang juga warga tempatan tidak mengetahui tujuan nama mereka digunakan untuk membuka akuan itu, sebaliknya terpengaruh untuk mendapatkan wang cara mudah melalui komisen tanpa melakukan sebarang kerja. “Selain itu, siasatan polis mendapati modus operandi yang mereka lakukan ini taktik baru. Sebelum ini sindiket sama skim penipuan dengan menawarkan mangsa percutian ke Macau, kononnya sebagai hadiah istimewa dimenangi mereka.
 
“Namun, mangsa terlebih dulu perlu memasukkan wang pendahuluan ke dalam akaun bank diberikan dan selepas mangsa memasukkan wang, anggota sindiket terbabit menghilangkan diri,” katanya. Berikutan itu, Syed Ismail menasihatkan orang ramai berhati-hati dan segera melaporkan pada polis jika dihubungi individu yang mendakwa mereka pegawai polis Bukit Aman atau kakitangan Bank Negara serta dan meminta segera memindahkan wang di dalam akaun peribadi masing-masing ke akaun pihak ketiga.
 
Petikan daripada : MyMetro.com