Isnin, 12 Januari 2015

Trade-in Skim Insentif Pengguna

KUALA LUMPUR 12 Jan 2015. - Pemilik kereta berusia lebih 10 tahun kini boleh mendapatkan rebat sehingga RM5,000 untuk membeli kereta baharu, menerusi skim terbaharu yang dijangka diperkenalkan tahun ini.

Malah, skim ‘trade-in’ yang dinamakan Skim Insentif Pengguna itu membolehkan pengguna membeli sebarang jenama kereta daripada syarikat pengeluar peralatan tulen (OEM) tempatan, meskipun kereta yang mahu dilupuskan itu berlainan jenama.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif Malaysia (MAI), Mohamad Madani Sahari berkata, perbincangan bagi menjayakan skim itu sedang berada di peringkat akhir dan berpotensi untuk dilaksanakan seawal Mac ini.

Selain membabitkan kereta berusia lebih 10 tahun katanya, skim itu juga dijangka terbuka kepada pemilik-pemilik kereta yang terbabit dalam bencana banjir yang berlaku di beberapa buah negeri di Pantai Timur ketika ini.

“Skop untuk mangsa banjir (pemilik kereta) ini baharu sahaja dibincangkan untuk menjadi sebahagian daripada skim ini. Apapun, skim ini masih perlu mendapat kelulusan kerajaan dan juga pengeluar kereta yang akan menilai prospek pelaksanaan skim tersebut.

“Ketika ini, kedua-dua pihak memberikan respon yang baik, dan kepada pengguna skim ini bukan merupakan paksaan,” katanya kepada pemberita selepas Kajian dan Prospek Industri Automotif Malaysia 2014/2015 di sini hari ini.

Tambah Mohamad Madani, skim pelupusan kereta itu pernah diperkenalkan pada 2009 namun hanya membabitkan kereta jenama Proton dan Perodua sahaja. Jelasnya, pelaksanaan kali ini lebih terbuka meliputi semua jenama kereta yang berminat untuk menyertai skim tersebut.

Beliau bagaimanapun, tidak dapat memberi anggaran bilangan kenderaan berusia lebih 10 tahun yang berada di jalan raya negara ini.